Tokoh Bahasa

TOKOH-TOKOH KESUSASTERAAN MELAYU
1. Tun Sri Lanang
Nama sebenarnya ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau ialah Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570 – 1579). Pada tahun 1613, beliau dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Di sana beliau mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh Nuruddin al-Raniri dan menyambung penulisan bukunya, Sejarah Melayu. Buku tersebut membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini. 

2. Hamzah Fansuri
Hamzah Fansuri ialah seorang pujangga Melayu-Islam pada zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli tasauf. Ajarannya ditentang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel. Sultan Acheh mengarahkan buku-buku karangan Hamzah dibakar. Hamzah mempelopori genre syair di dalam Kesusasteraan Melayu. Beliau menulis Syair Perahu, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai. Selain itu, beliau menulis kitab Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk wal-Tauhid.

3. Raja Ali Haji
Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa. Beliau menulis buku tatabahasa Melayu yang berjudul Bustan al-Katibin (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Di samping itu, beliau menulis sebuah kamus yang diberi judul Kitab Pengetahuan Bahasa. Karya beliau yang terkenal ialah Tuhfat al-Nafis. Karya historiografi ini telah memasukkan tarikh mengikut kalendar Hijrah. Selainnya ialahSyair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mastika, dan Gurindam Dua Belas. Sebagai penulis yang prolifik, beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan malahan juga sejarah dan bahasa.

4. Abdullah Munsyi
Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Syeikh Abdul Kadir. Abdullah amat meminati bidang penulisan. Sehubungan dengan itu, beliau telah menghasilkan karya asli, terjemahan, dan puisi. Karya asli beliau ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Dawa’il Kulub(1838) dan Hikayat Abdullah (1840). Beliau telah menterjemahHikayat Panca Tenderan (1838). Karya puisi beliau ialah Syair Singapura Terbakar (1830) dan Syair Kampung Gelam Terbakar(1847). Sementara penerbitan naskhah lama yang diusahakannya ialah Sejarah Melayu (1830) dan Kitab Adat Segala Raja-raja dalam Segala Negeri (1837).


5. Syed Syeikh al-Hadi
Nama beliau yang sebenarnya ialah Syed Syeikh bin Ahmad al-Hadi. Beliau dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka pada tahun 1867. Beliau mendapat pendidikan di Mekah, Beirut dan Kaherah. Pernah belajar dengan Muhammad Abduh, seorang reformis Islam. Beliau mengelolakan penerbitan al-Imam (1906-08) dengan rakannya Syeikh Muhammad Jalaluddin al-Azhari, Syeikh Muhammad Salleh Al-Kalali dan Haji Abbas Mohammad Taha setelah kembali ke tanah air. 
Beliau menghasilkan novel saduran pertama berjudul Hikayat Faridah Hanum. Keuntungan jualan novel itu digunakan untuk mendirikan The Jelutong Press, Pulau Pinang. Syarikat percetakan itu menerbitkan majalah al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara(1928). Syed Syeikh al-Hadi merupakan seorang tokoh sastera, agama, pendidikan, dan wartawan yang berwibawa. Beliau merupakan tokoh reformis Islam yang secara sedar menyuarakan keburukan budaya Barat, kepentingan pendidikan, emansipasi wanita dan Islam yang progresif.

6. Ahmad Rashid Talu
Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin Mohammad Rashid. Beliau keturunan Minangkabau. Gelaran ‘Talu’ di hujung namanya ialah nama kampung asal orang tuanya di Sumatera. Ahmad Rashid Talu dilahirkan pada tahun 1889 di Pulau Pinang. Perkenalan dengan Syed Syeikh al-Hadi mungkin menjadi sebab beliau bergiat aktif di dalam bidang penulisan. Beliau pernah berkhidmat dengan akhbar Bahtera pada tahun 1932. Ahmad Rashid Talu terkenal di dalam bidang penulisan novel. Beliau menghasilkan novel Kawan Benar (1927), Iakah Salmah? (1928), Dua Belas Kali Sengsara(1929), Siapakah Jahat atau Datuk Chenchano (1930-31) dan novel yang tidak selesai berjudul Rahmah binti Abdullah. 

7. Abdul Rahim Kajai
Nama beliau yang sebenarnya ialah Haji Abdul Rahim bin Haji Salim. Beliau dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Abdul Rahim mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau berkhidmat dengan akhbar Idaran Zaman, Saudara, Majlis, Warta Malaya, Utusan Melayu, Perubahan Baru dan Berita Malai sebagai wakil, penolong pengarang dan pengarang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Beliau diberi gelaran ’Bapa Wartawan Melayu’ kerana usaha yang bersungguh-sungguh memupuk semangat kebangsaan di dalam kalangan orang Melayu.

Di samping itu, beliau merupakan seorang pelopor di dalam bidang cerpen kerana menghasilkan banyak cerpen antara tahun 1936 hingga 1941. Beliau menghasilkan 36 buah cerpen yang disiarkan dalam Warta Jenaka dan 12 buah cerpen yang disiarkan dalamUtusan Zaman dan Mastika. Kumpulan cerpen beliau telah dibukukan. Antaranya ialah Pusaka Kajai (1949), Banyak Udang Banyak Garam (1961), dan Lain Padang Lain Belalang (1961). Di dalam bidang kewartawanan, Abdul Rahim Kajai menghasilkan buku Panduan Wartawan (1941). Beliau pernah menghasilkan novel saduran berjudul Cerita Dzul-Ruhain (1930-31).

8. Muhammad Yassin Maamur
Beliau dilahirkan di Brickfield, Kuala Lumpur pada 18 September 1910. Pendidikan yang diterimanya terputus-putus. Memasuki Sultan Idris Training College (SITC) dari tahun 1929 hingga 1931. Pernah menjadi guru penolong, guru besar dan guru pelawat. Minat Muhammad Yassin (Punggok) di dalam bidang kesusasteraan timbul semasa berkawan rapat dengan Abdullah Sidek dan Ibrahim Yaacob di SITC.

Dalam tahun 1933, beliau menulis puisi berjudul ‘Di Tengah Segara’ di dalam Majalah Guru, kemudian diikuti dengan lima buah sajak lagi dalam majalah yang sama. Punggok merupakan penyair yang prolifik pada zamannya. Sajak-sajak awal beliau masih terikat dengan Puisi Melayu Tradisional. Sajak Punggok yang bebas sepenuhnya daripada tradisi lama ialah ‘Tak Disangka-sangka’. Di samping puisi, beliau juga menghasilkan cerpen yang disiarkan dalam Warta Ahad, Warta Jenaka, Majalah Guru dan Majlis. Pada tahun 1936, beliau menghasilkan novel yang berjudul Suka dan Duka. 

9. Ishak Haji Muhammad
Nama sebenar beliau ialah Awang Ahmad bin Haji Muhammad. Lahir di Kampung Bukit Seguntang, Temerloh, Pahang pada 14 November 1910. Beliau pernah menjadi Pegawai Pentadbir Melayu, guru, ahli politik, wartawan, dan pengarang. Semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, Ishak menjadi pengarang Berita Malai dan turut menyumbang untuk Semangat Asia dan Fajar Asia. Beliau menulis cerpen dan novel yang bertemakan semangat kebangsaan, kritikan sosial dan ekonomi. Bagi mengenang jasa beliau, kerajaan Malaysia menganugerahkan gelaran Pejuang Sastera kepadanya pada tahun 1973. Ishak meninggal dunia pada tahun 1994.
Di dalam bidang penulisan, Ishak menggunakan nama-nama pena yang lain seperti Pak Sako, Pak Pandir Moden, Isako San, Anuar, Hantu Raya dan Lamri. Cerpen beliau dimuatkan dalam kumpulan Segar. Novel yang beliau hasilkan ialah Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Budak Beca, Jalan ke Kota Bharu, Pengantin Baru, Cemburu Celik, Menari yang Lari, Pertemuan di Sungai, Selayang Pandang, Anak Dukun Deraman, dan Tijah Tukang Cukur. Di samping itu, beliau menulis rencana di dalam Warta Malaya dan Suluh Malaya. Beliau juga mengelolakan ruangan pojok dalam Warta Malaya, Utusan Melayu, dan Utusan Zaman. 

10. Keris Mas
Nama sebenar beliau ialah Kamaluddin bin Muhammad. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang. Beliau pernah menyertai parti politik, berkhidmat dengan akhbar-akhbar Warta Negara dan Utusan Melayu, Ketua PengarangDewan Bahasa dan Dewan Sastera, Penulis Tamu di DBP, dan Karyawan Seni di Universiti Malaya. Sasterawan Negara yang pertama ini pernah bergiat dalam ASAS 50 di Singapura. Beliau menulis cerpen dan novel. Keris Mas mengemukakan karya yang menyentuh pelbagai persoalan. Antaranya ialah nasionalisme, darurat, kritikan sosial, ekonomi, politik, dan sebagainya. 



No comments:

Post a Comment